Berdasarkan
kamus dewan edisi keempat, remaja didefinisikan sebagai sudah mulai dewasa,
sudah akil baligh dan sudah cukup umur untuk berkahwin. Menurut Azizi Haji
Yahya (2011) pula, zaman remaja dikatakan bermula daripada akil baligh dan
berakhir apabila memasuki alam dewasa, yang merupakan satu tempoh peralihan
dalam pusingan hidup yang melibatkan banyak perubahan yang berlaku sama ada
daripada segi perkembangan fizikal, emosi dan kognitif iaitu mula berminat
mengadakan hubungan dengan rakan sebaya. Secara umumnya, remaja ialah golongan
yang berumur 12 hingga 21 tahun atau 13 hingga 25 tahun yang mempunyai sifat
ingin mencuba yang tinggi. Pelbagai perubahan drastik berlaku dalam fasa ini
yang mana perubahan ini akan memberi kesan kepada
emosi remaja. Kesantunan berbahasa pula memperlihatkan sikap yang mengandungi
nilai-nilai murni, etika yang tinggi dan berbahasa secara sopan dan santun.
Remaja pada masa ini,
dilihat semakin kurang kesantunan berbahasanya dan budi bahasa dalam diri
mereka juga semakin pudar. Baik dalam percakapan mereka sehari-hari ataupun
dalam tulisan mereka seperti di dalam
laman sosial, e-mel ataupun masej pesanan ringkas (SMS). Mereka menggunakan
bahasa yang tidak sopan, bahasa rojak dan penggunaan bahasa tersebut salah dari
segi tatabahasa dan hukum bahasa Melayu. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku
sedangkan remaja-remaja di Malaysia ini paginya menuju ke sekolah dan mereka
diajar subjek bahasa Melayu. Bahasa merupakan medium yang digunakan untuk
manusia meyampaikan maklumat, menuturkan perkataan dan meluahkan perasaan.
Tanpa bahasa yang betul dan tidak fahami, apa yang ingin disampaikan tidak
dapat diterima oleh seseorang pendengar. Melalui bahasa juga, peribadi dan
tahap pendidikan seseorang itu dapat dinilai. Agama Islam juga menuntut umatnya
untuk berbahasa dengan sopan dan lemah lembut. Hal ini kerana, pertuturan yang
baik mencerminkan hati yang bersih dan
suci. Melalui penggunaan bahasa yang sopan dan elok juga kita dapat memperoleh
kepercayaan.
Bahasa kesat yang
lazim digunakan sekarang seperti tolol,
gi mampus kau, jahanam kau, bodoh, haram dan sebagainya. Penggunaan bahasa
singkatan dan bahasa rojak juga boleh mengakibatkan bahasa Melayu asli semakin
tidak diketahui ramai dan menyebabkan masyarakat keliru kesahihan bahasa
tersebut.
Kebanyakan waktu remaja dihabiskan
di rumah bersama ibu bapa dan keluarga. Keluarga memberi pengaruh besar kepada
remaja-remaja ini. Latar belakang keluarga yang kurang baik memberi kesan yang
kurang baik juga kepada bahasa pertuturan anak-anak mereka. Sekiranya ibu bapa
sudah biasa menggunakan bahasa maki hamun dan bahasa kesat di hadapan anak-anak
sejak mereka kecil, anak-anak akan terikut-ikut dan biasa dengan perkataan
tersebut sehingga mereka dewasa. Ibu bapa yang sering bergaduh juga menyumbang
kepada faktor berlakunya kecelaruan dalam kesantunan berbahasa ini. Sekiranya
ibu bapa sering bergaduh sehingga bercerai-berai, anak-anak akan mendapat
kurang kasih sayang dan mreka mencari kasih-sayang yang hilang itu di luar
rumah. Apabila di luar rumah, peratus untuk mereka bergaul dengan orang-orang
yang salah sangat tinggi dan ini akan bukan sahaja menyebabkan kesantunan
mereka hilang, malah turut mendatangkan faktor-faktor lain seperti terlibat
dengan dadah dan perlumbaan.
Di samping itu, laras bahasa dalam khidmat pesanan ringkas dan dalam
laman-laman social juga mempengaruhi mereka. Perkataan dieja berdasarkan apa
yang didengari mereka. Banyak perkataan telah dirosakkan seperti apa menjadi ape, telefon menjadi talipon, ambil menjadi ambik dan banyak lagi. Lagi menyedihkan
apabila ejaan sesuatu perkataan itu diubah dan ditambah oleh mereka menjadi
perkataan yang sukar difahami dan pelik sebutan. Kebanyakan perkataan ini hanya
difahami oleh mereka sahaja. Contohnya, perkataan axu yang membawa maksud aku, awunx
bermaksud awak, dea iaitu dia dan
sebagainya. Rajah
2.1.4 dan 2.1.5 merupakan contoh novel remaja yang menggunakan bahasa yang
tidak sesuai. Penggunaan bahasa ini boleh mempengaruhi remaja. Media merupakan
alat perantaraan di antara media dan masyarakat. Sekiranya penggunaan bahasa
mereka salah, masyarakat terutamanya golongan
remaja ini terikut-ikut dengan penggunaan bahasa mereka. Media-media
elektronik seperti televisyen dan radio juga tidak menitik beratkan penggunaan
bahasa yang sesuai.
|
Penggunaan bahasa Melayu yang telah
rosak ini, jika dibiarkan dan tidak diambil tindakan oleh pihak yang
bertanggungjawab akan memberi kesan kepada bahasa Melayu kita. Status bahasa
Melayu sebagai bahasa kbangsaan akan luntur. Jika orang Melayu khususnya remaja
Melayu tidak menggunakan laras bahasa Melayu yang betul dan tepat, siapa lagi
yang kita harapkan untuk memartabatkan bahasa ini ? Untuk melihat pemimpin pada
masa akan
datang, lihatlah remaja pada hari ini. Jika remaja pada hari ini tidak
menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu, bagaimanakah keadaan negara kita pada
masa akan datang ? Selain itu, bahasa Melayu juga akan menjadi bahasa kelas
rendah yang tiada kuasa. Bahasa Melayu hanya digunakan di negara kita,
Malaysia. Sekiranya luntur bahasa ini, maka bahasa Melayu hanya akan disimpan
di dalam muzium untuk menjadi tatapan generasi akan datang. Hal ini turut akan
menjejaskan tamadun Melayu.
Untuk membaiki masalah kesantunan
berbahasa dalm kalangan remaja ini, ibu bapa seharusnya berada di barisan
hadapan untuk mencari penyelasaiannya. Pada pendapat saya, ibu bapa perlu
menjadi qudwah hasanah untuk anak-anak. Ketika di rumah, ibu bapa seharusnya
menunjukkan contoh yang baik dengan mengamalkan kesantunan berbahasa. Hal ini
kerana, ibu bapa adalah cerminan anak-anak. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Anak-anak mereka seharusnya dilentur sejak kecil lagi kerana kata pepatah
melentur biarlah dari rebungnya. Kanak-kanak yang masih kecil melalui proses
pembelajaran yang pantas. Mereka akan mengikut apa yang mereka lihat dan apa
yang mereka nampak. Sekiranya anak-anak mereka telah besar dan sudah menjadi
remaja, usaha masih boleh diteruskan dengan sentiasa memberi nasihat kepada
merka tanpa jemu. Usaha yang berterusan tetap akan mebuahkan hasil pada
akhirnya walaupun lambat. Ibu bapa boleh memantau pergerakan anak-anakdengan
mengetahui ke mana mereka pergi dan dengan siapa mereka bersahabat. Sahabat
yang baik boleh memberi pengaruh kepada remaja-remaja. Ibu bapa juga seharusnya
bersifat tegas dalam sesetengah perkara supaya anak-anak terbiasa dengan
pertuturan yang sopan dan santun.
Pihak sekolah juga wajar memainkan
peranan kerana di sekolahlah tempat remaja-remaja ini berada selain dari rumah.
Pihak sekolah perlulah mengadakan program yang bersesuaian untuk golongan
remaja. Pihak sekolah terutamanya guru-guru seharusnya menitikberatkan
penggunaan bahasa yang betul dan mereka seharusnya mendidik remaja-remaja ini
cara untuk santun berbahasa dengan betul. Mengadakan hukuman untuk pelajar yang
tidak mengamalkan kesantunan boleh dijadikan cara yang baik untuk mendidik
pelajar-pelajar di sekolah. Penumpuan seharusnya diberikan kepada
pelajar-pelajar yang nakal dan mempunyai masalah disiplin. Hal ini kerana,
ketidaksopanan dalm pertuturan akan menyebabkan remaja terdorong untuk
mempunyai sikap yang negatif dan menyebabkan mereka mengambil tindakan yang
tidak bermoral seperti vandalisme, merokok dan ponteng sekolah. Bimbingan dan
kaunseling yang betul daripada guru-guru boleh mengembalikan pelajar-pelajar
ini ke pangkal jalan dengan usaha yang berterusan.
Namun begitu, perkara yang paling
penting sekali dalam hal ini ialah remaja itu sendiri mestilah mengubah sikap
mereka daripada negatif kepada positif. Firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat
11 yang bermaksud,
“…Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan
mereka diri mereka sendiri….”
Walaupun
beribu orang datang dan membimbing kita supaya berubah, kita tidak akan berubah
sekiranya kita tidak memulakan langkah kerana kita boleh menarik lmbu ke tepi
sungai, tetapi kita tidak boleh menyuruh lembu itu untuk minum air dari sungai
tersebut.. Remaja itu sendiri seharusnya sedar bahawa mereka adalah pemimpin
keluarga dan masyarakat pada masa hadapan. Tanggungjawab yang besar ini
menuntut pengorbanan dan usaha yang gigih ssedari awal. Remaja tidak seharusnya
bersikap seperti bangau yang suka menuding jari ke arah orang lain sahaja.
Remaja perlu pandai mencari sahabat yang boleh mempengaruhi diri untuk santu barbahasa
dengan baik dan berusaha untuk bersopan santun dalam setiap perkataan dan
perlakuan setiap hari. Sudah sampai masanya untuk para remaja melakukan
transformasi diri dengan mengamalkan nilai-nilai murni melalui kesantunan
berbahasa kerana dunia hari ini melihat calon pemimpin hari muka bukan sahaja
yang berwibawa, malah yang mempunyai sahsiah terpuji dalaman dan luaran.
Comments
Post a Comment