Skip to main content

BMMB3073 Penggunaan Bahasa Rojak


Bahasa merupakan alat komunikasi terpenting dalam konteks perhubungan sesama manusia. Bahasa membolehkan manusia berhubung, melahirkan idea dan meluahkan perasaan. Bahasa merupakan nadi kepada sesuatu bangsa. Penyalahgunaan bahasa boleh memberi kesan kepada perlambangan sesuatu bangsa. Dalam konteks negara Malaysia, isu penggunaan bahasa rojak sering menjadi isu utama yang hangat diperdebatkan. Isu ini seharusnya diatasi dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan pelajar dan guru di sekolah. Hal ini kerana, generasi kini merupakan pemimpin negara pada zaman akan datang. Oleh itu, mereka perlulah dididik untuk menggunakan bahasa dengan betul supaya bahasa ibunda rakyat Malaysia tidak pudar ditelan zaman.
Bahasa menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007). Menurut Reed, V. A. (1994)  pula, bahasa adalah lambang-lambang yang kita jadikan sebagai simbol-simbol khusus untuk mewakili sesuatu. Rojak pula ialah sesuatu yang bercampur aduk (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007). Bahasa rojak ialah suatu jenis percakapan di Malaysia yang menakrifkan amalan beralih kod iaitu mencampurkan pelbagai bahasa dalam satu pertuturan dan masih mengekalkan bahasa dasarnya iaitu bahasa Melayu (Wikipedia Bahasa Melayu, 2015). Secara kesimpulannya, penggunaan bahasa rojak ialah bahasa yang digunakan dalam masyarakat Malaysia dan merupakan bahasa yang diujarkan tanpa menggunakan sistem bahasa Melayu yang betul.
Seperti yang telah dinyatakan, isu penggunaan bahasa rojak ini mendatangkan kesan buruk kepada perkembangan bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Oleh itu, terdapat beberapa strategi, kaedah dan teknik tertentu yang dapat membantu membaiki masalah penggunaan bahasa rojak ini di dalam biik darjah. Seorang guru yang efektif, sewajarnya bijak mengatur pengajaran yang berkesan untuk para pelajarnya. Strategi, kaedah dan teknik merupakan tiga perkara berbeza yang perlu disatukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan

Strategi ialah rancangan yang teratur  untuk mencapai matlamat atau kejayaan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007). Menurut Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, (2012) pula, strategi bermaksud kebijaksanaan dalam pemilihan pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran berdasarkan objektif pengajaran yang digubal. Secara kesimpulannya, strategi ialah susunan kaedah dan pendekatan yang digunakan oleh guru dalam bilik darjah untuk mencapai matlamat pengajaran. Strategi mengambil kira objektif pengajaran jangka panjang dengan membias kepada aspek-aspek lain yang bersesuaian seperti melibatkan pemilihan bahan, masa dan sebagainya (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Terdapat pelbagai jenis strategi yang boleh digunakan dalam membaiki masalah penggunaan bahasa rojak di sekolah fokusnya di dalam bilik darjah.
Strategi berpusatkan guru merupakan antara strategi yang boleh digunakan oleh guru. Strategi berpusatkan guru berkait dengan teori behavioris yang menekankan aspek manusia melakukan peniruan dalam usaha mempelajari sesuatu. Guru akan menyebut dan mengajar sesuatu perkataan kepada murid dan murid seterusnya akan meniru sebutan guru dan menghafalnya. Strategi ini berpusatkan kepada guru semata, guru sebagai individu yang menyampaikan maklumat dan kurang interaksi dua hala antara guru dan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut  Richards, J.C., & T.S. Rogers (2001), antara ciri strategi berpusatkan guru ialah fokus pembelajaran murid kepada hafazan semata. Melalui hafazan formula bahasa seperti hukum diterangkan dan menerangkan (DM) dan formula transformasi generatif, ingatan murid terhadap formula tersebut akan membantu murid dalam penggunaan bahasa sehari-hari. Menurut Richards, J.C., & T.S. Rogers (2001), hafalan formula lebih berkesan berbanding sekadar memahami semantiknya tanpa mengetahui cara menggunakannya. Apabila murid mengetahui hukum-hukum penggunaan bahasa, murid tidak akan melakukan kesilapan dan penggunaan bahasa rojak dalam komunikasi dapat dikurangkan.
Strategi ini memberi guru autoriti untuk menguasai dan mengawal proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas (Richards, J.C., & T.S. Rogers, 2001). Oleh itu, kelas akan lebih terkawal dan semua murid dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajaran guru. Oleh sebab aktiviti peniruan memperuntukkan fokus dan perhatian murid, strategi berpusatkan guru ini merupakan salah satu strategi yang paling sesuai digunakan oleh guru dalam pengajaran bahasa yang melibatkan hukum-hukum tatabahasa. Murid perlu mengamati pergerakan dan lisan guru supaya mereka memperoleh maklumat dan ilmu yang benar dan dapat merekka aplikasikan dalam kehidupan seharian.
Sebagai contoh, sekiranya guru ingin mengajar murid mengenai hukum-hukum pembinaan ayat misalnya, guru perlu menerangkan konsep asas pembinaan ayat yang mengandungi subjek dan predikat. Setelah itu guru akan memberi contoh-contoh ayat kepada murid supaya murid dapat mengaitkan konsep dan contoh yang diberi dan seterusnya murid mampu membina ayat dengan betul.  Apabila murid sudah mempelajari konsep asas pembinaan ayat, murid sewajarnya mampu memberikan contoh sebagaimana yang telah diajar oleh guru.
Berdasarkan hujah mengenai strategi pengajaran berpusatkan guru ini, jelaslah bahawa strategi ini mampu membantu mengurangkan masalah penggunaan bahasa rojak dalam kalangan murid di sekolah.

Menyelusuri konsep kaedah pula, kaedah ialah cara atau peraturan membuat sesuatu (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007). Menurut Tuan Jah dan Faridah Nazir (2010), kaedah merujuk kepada prosuder-prosuder mengajar yang wujud berdasarkan pendekatan pengajaran bahasa yang digunakan oleh guru.  Menurut Mok Soon Seng (1992) pula, kaedah pengajaran adalah tentang cara sesuatu objektif pembelajaran didekati dengan langkah penyampaian tersusun. Oleh itu, secara kesimpulan, kaedah  merujuk kepada cara yang boleh digunakan oleh guru dalam menyampaikan pengajaran bahasa. Namun, kaedah bukanlah satu medium utama dalam proses pengajaran tetapi sebagai satu jalan atau medium untuk mencapai objektif pengajaran tersebut. 
Dalam isu mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak ini, pelbagai kaedah tertentu yang sesuai untuk digunakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah kaedah terus. Kaedah terus ini dapat dilaksanakan dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah. Kaedah terus merujuk kepada pengajaran dan pembelajaran untuk menguasai bahasa secara natural (Tuan Jah dan Faridah Nazir, 2010). Menurut beliau lagi, guru menggunakan terus bahasa sasaran iaitu bahasa Melayu tanpa terjemahan dalam proses pengajaran bahasa.
Dalam konteks isu ini, guru perlu membina pengetahuan yang kukuh dan realistik mengenai bahasa dalam diri murid mereka. Guru perlu menggunakan bahan yang konkrit bagi menerangkan sesuatu perkataan konkrit yang tidak difahami murid. Bagi perkataan yang bersifat abstrak pula, guru boleh melakukan demonstrasi, simulasi atau lakonan bagi menerangkan perkataan tersebut. Guru juga boleh memberi makna yang sinonim dengan perkataan tersebut dalam bahasa Melayu. Menterjemahkan perkataan kepada perkataan bahasa lain yang sama maksud perlu dielakkan (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Hal ini kerana, apabila guru memberi murid makna dalam bahasa lain yang seerti dengan sesuatu perkatan, murid akan lebih berfokus kepada perkataan yang diketahuinya dan hal ini akan mempengaruhi murid ketika berkomunikasi apabila murid tidak dapat mengingati perkataan tersebut. Sebagai contoh, guru membawa bahan-bahan maujud bagi mengajar kata nama benda hidup seperti ikan, kucing, guru, askar dan sebagainya. Guru juga boleh melakonkan situasi-situasi tertentu bagi menerangkan kata nama perasaan seperti gembira dan sedih kepada murid yang kurang memahaminya. 
Kelebihan kaedah ini dalam membaiki masalah penggunaan bahasa rojak ialah kaedah ini menekankan aspek penguasaan bahasa dalam komunikasi (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Apabila semua murid berjaya menguasai penggunaan   bahasa Melayu dengan cara yang betul sedari awal, mereka pasti akan mengaplikasikan bahasa dengan betul dalam komunikasi selain cenderung untuk membaiki kesalahan rakan-rakan yang lain dalam penggunaan bahasa Melayu. Selain itu, kaedah terus ini melibatkan penglibatan murid secara menyeluruh ketika pembelajaran berlaku (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Penglibatan murid yang aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat berkesan kerana murid dapat merasai pengalaman belajar bahasa itu sendiri. Pengalaman yang negatif akan membantu murid untuk tidak mengulanginya lagi dan pengalaman positif akan diteruskan sekiranya murid mendapat ganjaran yang betul. Contohnya, apabila guru meminta murid menjawab soalan atau menyebut sesuatu perkataan, murid akan memperoleh pengalaman bahasa tersebut. Secara tidak langsung murid lain juga akan memperoleh pengalaman bahasa tetapi melalui cara mereka yang tersendiri. Melalui pengalaman-pengalaman yang terbina, penggunaan bahasa rojak dapat diatasi dan dikurangkan.
Oleh itu, berdasarkan hujah dan contoh-contoh yang diberikan, jelaslah bahawa kaedah terus yang diserapkan dalam pengajaran subjek bahasa Melayu ini membantu mengurangkan masalah penggunaan bahasa rojak dalam kalangan murid di sekolah.

Teknik membawa maksud kaedah mencipta sesuatu hasil seni muzik, karang-mengarang dan sebagainya (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007). Menurut Kamaruddin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz (2004) pula, teknik ialah pengendalian sesuatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah untuk mencapai sesuatu objektif pembelajaran. Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad (2012) menyimpulkan teknik sebagai alat yang digunakan oleh guru bahasa untuk menyampaikan sesuatu bahan pengajaran yang telah dipilih. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa teknik ialah alat perantaraan yang digunakan oleh guru bahasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan.
Terdapat beberapa teknik yang dapat diserap ke dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa di sekolah terutamanya bagi mengurangkan masalah penggunaan bahasa rojak dalam kalangan murid sekolah yang semakin berleluasa. Antaranya ialah guru boleh menggunakan teknik permainan bahasa. Menurut Tuan Jah dan Faridah Nazir (2010), teknik permainan bahasa merupakan satu-satunya cara untuk mempelajari bahasa melalui permainan. Penglibatan dalam permainan ini memberi peluang kepada murid-murid memperoleh latihan intensif, pembelajaran yang bermakna dan digunakan sebagai alat pengesanan iaitu diagnostik (Tuan Jah dan Faridah Nazir, 2010).
Hala tuju teknik ini bukan sahaja selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan malah turut selaras dalam membantu mengurangkan masalah penggunaan bahasa rojak di sekolah. Teknik ini berfokuskan kepada menambah kefasihan dan keyakinan murid untuk berbahasa (Tuan Jah dan Faridah Nazir, 2010). Apabila murid fasih berbahasa, secara tidak langsung keyakinan berbahasa murid akan meningkat dan hal ini akan mengurangkan peratusan penggunaan bahasa rojak dalam kalangan murid. Hal ini kerana, murid yang fasih berbahasa sudah pasti mempunyai kosa kata bahasa Melayu yang cukup dan seterusnya mampu menggunakan bahasa Melayu yang betul sepenuhnya dalam komunikasi mereka. Hal ini kerana, berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Wikipedia (2015), salah satu daripada faktor penggunaan bahasa rojak dalam kalangan murid ialah murid kekurangan kosa kata bahasa Melayu dan apabila mereka tidak mampu mengeluarkan sesetengah perkataan yang diketahui dalam bahasa Melayu, mereka menggantikannya dengan bahasa lain.
Selain itu, teknik permainan bahasa juga berfokus sebagai alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Ketiga-tiga aspek ini amat penting dalam proses pengajaran bahasa dan dalam memastikan tahap penguasaan bahasa murid di tahap yang optimum. Aktiviti pemulihan dilaksanakan bagi membantu murid yang masih lemah dalam penguasaan kemahiran bahasa. Akiviti pengukuhan pula dijalankan bertujuan untuk mengukuhkan dan meningkatkan lagi pemahaman serta kemahiran murid dalam penguasaan kemahiran bahasa tersebut manakala aktiviti pengayaan dijalankan untuk murid yang telah menguasai kemahiran bahasa dan membantu murid untuk memahat pemahaman tersebut supaya murid tidak lupa.
Contoh permainan bahasa yang boleh digunakan oleh guru untuk mengajar bahasa Melayu dalam usaha mengurangkan masalah penggunaan bahasa rojak ialah “Permainan Kotak Misteri”. Langkah pelaksanaan permainan ini yang pertama, guru meminta murid menulis di atas sekeping kertas kecil satu aktiviti sebagai contoh mendeklamasi sajak, berbalas pantun, melagukan seloka, berpidato, syarahan, teater pembaca dan lain-lain aktiviti bahasa. Bagi menambah keseronokan murid, guru juga boleh menulis satu aktiviti di atas kertas sepertimana yang murid lakukan. Setelah itu, semua kertas tersebut dilipat dan dimasukkan ke dalam sebuah kotak yang telah guru sediakan. Apabila selesai peringkat ini, guru meminta pula semua murid untuk mencabut satu kertas daripada kotak tersebut setiap seorang. Sekiranya ada murid yang mendapat kertas yang ditulisnya sendiri, dia perlu memasukkan semula kertas tersebut dan mencabut kertas lain yang bukan milknya. Cabutan kertas terakhir akan dilakukan oleh guru dan guru akan memulakan aktiviti seterusnya iaitu melaksanakan aktiviti yang tercatat pada kertas yang telah dicabut daripada kotak. Tujuan guru memulakan aktiviti adalah untuk menjadi model kepada murid dan melalui cara ini, murid akan lebih tertarik untuk melaksanakan aktiviti tersebut setelah melihat guru mereka melaksanakannya. Guru perlu menyenaraikan peraturan-peraturan tertentu termasuklah murid perlu menggunakan bahasa Melayu dengan semantik dan pragmatik yang betul. Penggunaan bahasa rojak tidak dibenarkan dan guru boleh menyediakan ganjaran atau hukuman kepada murid yang berjaya mematuhi atau murid yang tidak mematuhi peraturan-peraturan tersebut.
Melalui aktiviti tersebut, jelas menunjukkan aktiviti tersebut berfokus kepada pengukuhan kemahiran mendengar, kemahiran bertutur dan kemahiran berbahasa serta kemahiran menulis murid. Aktiviti ini membantu mengukuhkan penguasaan bahasa yang betul dan tepat dalam kalangan murid seterusnya mengikis kebiasaan murid untuk menggunakan bahasa rojak melalui aktiviti-aktiviti bahasa yang telah diberi tumpuan oleh guru.
Oleh itu, jelaslah bahawa teknik permainan bahasa ini mampu membantu mengurangkan masalah penggunaan bahasa rojak dalam kalangan murid di sekolah.

            Sebagai seorang guru yang prihatin dan bertanggungjawab, guru sewajarnya berusaha sedaya mungkin dalam membantu murid-murid mengurangkan masalah penggunaan bahasa rojak. Semua guru juga seharusnya menjadi qudwah hasanah kepada murid-murid mereka dengan menggunakan bahasa dalam komunikasi dengan betul tanpa terselit sebarang penggunaan bahasa rojak.
            Namun begitu, menangani isu bahasa rojak yang telah meresap ke dalam masyarakat seluruhnya ini bukan hanya terletak di bahu guru semata. Sebaliknya, semua pihak termasuklah ibu bapa, masyarakat, warga sekolah bahkan pihak kerajaan juga harus berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak yang semakin berleluasa terutamanya yang melibatkan murid-murid di sekolah. Hal ini kerana, mereka merupakan aset negara yang perlu diasuh dan dididik sebaiknya sehingga mereka mampu menjadi pemimpin negara yang berwibawa pada masa hadapan.

            Anak-anak muda perlu diterangkan dengan kepentingan berbahasa dengan betul kerana bahasa kita melambangkan bangsa kita. Bahasa Melayu merupakan identiti negara Malaysia yang wajar kita daulatkan dan dimartabatkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Comments

Popular posts from this blog

Lirik Lagu Albi Nadak

Kali ni nak sediakan lirik lagu yang kat atas tu. kot-kot lah ada yang berminat ~ Lagu Pertama : Albi Nadak / Fares | Lagu ni lagu Arab. dan Albi Nadak tu maksudnya Seruan Hatiku. Kalau ikut bahasa Arab sebenar, Qalbi Nadak. Albi Nadak tu ialah bahasa dialek | Lirik Arabnya Leek, ana milk leek  ta'ala arrab dommeni, makhtag   eleek, o rokhi feek   ya hob 'omr ana 'omri kollo hakhyesho leek   hawak howa el khaya,   wenta elly ana, ba'ashek hawa   kan albi monaah   agmal malak, yekoon ma'ah   yah albi nadak wetmannak teb enta wayaya   yah ba'd esneen shok wa khaneen alak eek hena ma'aya   yah dommeni leek, danta habibi hayaty leek   we ha'eesh 'omri 'ashan 'ineek   wa 'omri fadak   yah albi nadak wetmannak teb enta wayaya   yah ba'd esneen shok wa haneen alak eek hena ma'aya   yah dommeni leek, danta habibi hayaty leek   we ha'eesh 'omri 'ashana 'ineek   wa 'omri fadak   Eh, akhtag le eh ...

Implikasi Teori Pemerolehan Bahasa

IMPLIKASI TEORI PEMEROLEHAN BAHASA TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU. Dasawarsa, peranan guru bahasa dalam menyampaikan pengajaran yang bermakna kepada pelajar sangat dipengaruhi oleh teori pemerolehan bahasa yang menjadi asas pegangannya. Seseorang guru akan menggunakan kaedah pengajaran yang paling berkesan bagi menjamin berlakunya pembelajaran dalam kalangan murid-muridnya. Teori pemerolehan bahasa boleh dibahagikan kepada empat iaitu teori behavioris, teori kognitif, teori mentalis dan teori interaksionalis . Setiap teori pemerolehan bahasa ini mempunyai prinsip dan fokus tersendiri. Hujah yang dikemukakan juga banyak bergantung pada persekitaran dimana pelopor teori tersebut membesar, mendapatkan pendidikan dan budaya masyarakat setempat. Jika dikaji dan difahami teori-teori tersebut, sangat jelas dapat dilihat idea yang dikemukakan bergantung pada jangka masa teori tersebut diilhamkan. Teori pemerolehan bahasa amat penting dalam proses pengajaran dan pembe...