IMPLIKASI
TEORI PEMEROLEHAN BAHASA TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU.
Dasawarsa, peranan guru bahasa
dalam menyampaikan pengajaran yang bermakna kepada pelajar sangat dipengaruhi
oleh teori pemerolehan bahasa yang menjadi asas pegangannya. Seseorang guru
akan menggunakan kaedah pengajaran yang paling berkesan bagi menjamin
berlakunya pembelajaran dalam kalangan murid-muridnya. Teori pemerolehan bahasa boleh dibahagikan kepada empat iaitu teori
behavioris, teori kognitif, teori mentalis dan teori interaksionalis . Setiap
teori pemerolehan bahasa ini mempunyai prinsip dan fokus tersendiri. Hujah yang
dikemukakan juga banyak bergantung pada persekitaran dimana pelopor teori
tersebut membesar, mendapatkan pendidikan dan budaya masyarakat setempat. Jika
dikaji dan difahami teori-teori tersebut, sangat jelas dapat dilihat idea yang
dikemukakan bergantung pada jangka masa teori tersebut diilhamkan. Teori pemerolehan bahasa amat penting dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Teori-teori ini memberi implikasi dan impak kepada pengajaran dan
pembelajaran bahasa Melayu khususnya.
Teori pemerolehan
bahasa yang pertama ialah teori behavioris yang dipelopori oleh B. F. Skinner.
Beliau berpendapat, pemerolehan bahasa adalah berdasarkan pelaziman operan
iaitu rangsangan yang bersandarkan pemberian ganjaran atau peneguhan
(Khairuddin Mohamad, 2011). Kanak-kanak mempelajari bahasa secara tidak formal
melalui proses peniruan daripada insan yang hampir dengannya.
Antara implikasi
teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran apabila murid telah mempelajari
sesuatu kemahiran atau teknik bahasa, guru perlu sentiasa memberi peneguhan
secara berterusan supaya kemahiran atau teknik tersebut dapat dikukuhkan dan
seterusnya dikekalkan (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Hal ini
dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh Skinner terhadap seekor tikus yang
mana beliau membuat kesimpulan bahawa tingkah laku yang disertai dengan
pengukuhan akan meningkatkan kebarangkalian berlakunya tingkah laku yang sama
pada masa akan datang (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Sebagai
contoh, sekiranya murid telah mempelajari cara menulis karangan yang betul,
guru perlu memberi murid komen yang positif setiap kali murid berjaya menulis
esei yang betul. Apabila murid menerima peneguhan yang positif, motivasi
intrinsik murid untuk membaiki kesalahan akan berterusan dan seterusnya murid
akan menguasai kemahiran menulis karangan tersebut. Namun begitu, guru perlu
bijak membaiki kesalahan murid supaya motivasi intrinsik murid akan terus
meningkat. Lee dan Marlene Canter (1976) dalam Adenan Ayob dan Khairuddin
Mohamad (2012) juga menyokong bahawa peneguhan terhadap tingkah laku yang
diingini dan penerimaan murid terhadap akibat daripada tingkah laku yang
ditunjukkan membantu murid mencapai kemajuan diri sama ada dalam bidang
akademik mahupun disiplin diri.
Teori seterusnya
ialah teori kognitif yang dipelopori oleh Jean Piaget. Menurut beliau, bahasa
kanak-kanak adalah manifestasi penting daripada perkembangan mentalnya
(Khairuddin Mohamad, 2011). Perkembangan bahasa kanak-kanak berkait rapat
dengan mentalnya. Piaget membahagikan penguasaan bahasa kanak-kanak kepada
empat peringkat iaitu peringkat deria motor, peringkat praoperasi konkrit,
peringkat operasi konkrit dan peringkat operasi formal (Adenan Ayob dan
Khairuddin Mohamad, 2012). Perkembangan bahasa kanak-kanak yang normal akan
melalui peringkat-peringkat ini secara sistematik.
Implikasi teori ini
terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang dapat diketengahkan ialah guru
perlu menyusun isi kandungan pelajaran mengikut perkembangan kognitif kanak-kanak
dan yang paling relevan adalah daripada konkrit kepada abstrak dan daripada
dekat kepada jauh (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Misalnya,
sekiranya guru ingin mengajar murid mengenai kata nama, guru perlu memberi
contoh yang dekat dengan murid dan contoh yang diketahui oleh murid. Pengajaran
guru juga perlulah dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada murid supaya murid
dapat membina pengetahuan baru dengan mengaitkannya dengan apa-apa yang telah
dipelajarinya (Hadley, A.O., 1993). Hal ini akan menambahkan lagi kefahaman
murid dan pembelajaran lebih mudah diingat.
Teori pemerolehan
bahasa yang ketiga ialah teori mentalis yang mana teori ini mempunyai perkaitan
dan persamaan dengan teori kognitif. Teori mentalis diperkenalkan oleh Noam
Chomsky yang berpendapat bahawa pemerolehan bahasa boleh ditakrifkan sebagai
proses pemikiran yang melibatkan aktiviti mental (Khairuddin Mohamad, 2011).
Menurutnya lagi, kanak-kanak dilahirkan bersama Peranti Pemerolehan Bahasa atau
Language Acquisition Device (LAD). Alat
ini menjadi bukti bahawa manusia mempunyai kebolehan berbahasa semula jadi
(Tuan Jah Tuan Yusof, 2013). Oleh itu, kanak-kanak akan menggunakan keupayaan
sedia ada pada mereka untuk merumus dan membentuk ayat mengikut sistem bahasa
yang diperoleh mereka.
Teori mentalis ini
memberi implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran iaitu guru perlu merancang
pembelajaran mengikut kadar kendiri murid yang mana murid berpeluang belajar
sesuatu pengetahuan atau kemahiran bahasa berdasarkan minat, kebolehan dan
tahap kognitif sendiri (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Hal ini
kerana, menurut teori ini, kanak-kanak melalui empat peringkat perkembangan
dalam pemikiran. Oleh sebab itu, guru perlulah menyampaikan pengajaran mengikut
peringkat-peringkat yang betul supaya murid dapat memproses maklumat yang
setaraf dengan tahap pemikirannya. Sebagai contoh, jika guru ingin menerangkan
kepada murid cara membina ayat majmuk, guru perlulah mendedahkan kepada murid
asas dalam pembinaan ayat dan cara membentuk ayat tunggal terlebih dahulu
sebelum beralih kepada ayat majmuk.
Teori pemerolehan
bahasa yang terakhir ialah teori interaksionalis. Teori ini dipelopori oleh
Halliday, Bloom, Bowennan, Cromer dan beberapa ahli bahasa yang lain. Mereka
berpendapat bahawa kanak-kanak perlu
didedahkan kepada interaksi linguistik bagi menggambarkan bentuk linguistik
yang jelas dan tepat (Kamaruddin Hj Husin,1998). Penggunaan semantik perlu
disampaikan seiring dengan struktur bahasa supaya pelajar dapat menggunakan
sistem bahasa dengan tepat dan betul (Khairuddin Mohamad, 2011). Ahli-ahli
interaksionalis juga berpendapat bahawa kebolehan kognitif sahaja tidak dapat
menjelaskan pemerolehan bahasa kerana pentafsiran ini tidak boleh dilahirkan
dalam bentuk bahasa.
Teori
interaksionalis ini memberi pengaruh yang penting kepada proses pengajaran dan
pembelajaran bahasa iaitu guru perlu menekankan penumpuan terhadap
aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam proses pengajaran. Menurut Noor Aina Dani
(2007), golongan interaksionalis menekankan prinsip penyampaian struktur bahasa
bersama-sama dengan semantiknya. Hal ini kerana, murid dapat menggunakan bahasa
dengan lancar dan fasih apabila murid memahami semantik struktur bahasa
tersebut. Aktiviti yang dijalankan oleh guru amat penting dalam memastikan
murid mendapat kefahaman mengenai apa-apa yang diajarkan oleh guru. Guru perlu bijak merangka dan
melaksanakan strategi yang bersesuaian dalam pengajaran supaya murid mendapat
kefahaman mengenai tajuk tersebut selain memastikan objektif pengajaran dan
pembelajaran tercapai. Sebagai contoh, sekiranya guru ingin mengajar murid
mengenai peribahasa, guru boleh mengadakan simulasi atau lakonan yang berkaitan
dengan sesuatu peribahasa supaya murid memahami aspek semantik peribahasa
tersebut. Guru boleh melakonkan atau meminta murid sendiri untuk melakonkan
situasi seseorang yang melupakan jasa orang bagi menerangkan peribahasa ‘seperti
kacang lupakan kulit’.
Kemahiran berbahasa
merupakan suatu kemahiran yang amat penting untuk dikuasai oleh seseorang
kanak-kanak. Kemahiran ini penting dan diperlukan untuk kelangsungan hidup
sebagai seorang manusia. Seorang guru yang efektif dan bertanggungjawab ke atas
pelajarnya perlulah bijak menentukan cara untuk mengajar dan memupuk kemahiran
bahasa dalam diri pelajarnya. Guru perlu mengkaji teori-teori pemerolehan
bahasa dan menimbal balik keberkesanan serta implikasi teori-teori tersebut
supaya guru dapat mengaplikasikannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Guru seharusnya mengambil berat kepentingan penguasaan berbahasa dalam kalangan
kanak-kanak ini kerana penguasaan kemahiran berbahasa ini merupakan permulaan
kepada pembentukan modal insan kelas pertama sejajar dengan kehendak Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.
You have made your points in a smart way. I am impressed with how interesting you have been able to present this content. Thanks for sharing nice information. Do support us.
ReplyDeletePitofenone Hydrochloride
Tiemonium Methylsulphate
Info yang jelas tentang teori perkembangan bahasa Chomsky. Izinkan saya untuk menggunakan bahan penulisan ini sebagai rujukan dalam tugasan saya. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.
ReplyDeleteThanks for the useful information. Kindly do visit our website for our latest project.
ReplyDeleteNepafenac