Skip to main content

Implikasi Teori Pemerolehan Bahasa

IMPLIKASI TEORI PEMEROLEHAN BAHASA TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU.


Dasawarsa, peranan guru bahasa dalam menyampaikan pengajaran yang bermakna kepada pelajar sangat dipengaruhi oleh teori pemerolehan bahasa yang menjadi asas pegangannya. Seseorang guru akan menggunakan kaedah pengajaran yang paling berkesan bagi menjamin berlakunya pembelajaran dalam kalangan murid-muridnya. Teori pemerolehan bahasa boleh dibahagikan kepada empat iaitu teori behavioris, teori kognitif, teori mentalis dan teori interaksionalis . Setiap teori pemerolehan bahasa ini mempunyai prinsip dan fokus tersendiri. Hujah yang dikemukakan juga banyak bergantung pada persekitaran dimana pelopor teori tersebut membesar, mendapatkan pendidikan dan budaya masyarakat setempat. Jika dikaji dan difahami teori-teori tersebut, sangat jelas dapat dilihat idea yang dikemukakan bergantung pada jangka masa teori tersebut diilhamkan. Teori pemerolehan bahasa amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Teori-teori ini memberi implikasi dan impak kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu khususnya.


Teori pemerolehan bahasa yang pertama ialah teori behavioris yang dipelopori oleh B. F. Skinner. Beliau berpendapat, pemerolehan bahasa adalah berdasarkan pelaziman operan iaitu rangsangan yang bersandarkan pemberian ganjaran atau peneguhan (Khairuddin Mohamad, 2011). Kanak-kanak mempelajari bahasa secara tidak formal melalui proses peniruan daripada insan yang hampir dengannya.
Antara implikasi teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran apabila murid telah mempelajari sesuatu kemahiran atau teknik bahasa, guru perlu sentiasa memberi peneguhan secara berterusan supaya kemahiran atau teknik tersebut dapat dikukuhkan dan seterusnya dikekalkan (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Hal ini dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh Skinner terhadap seekor tikus yang mana beliau membuat kesimpulan bahawa tingkah laku yang disertai dengan pengukuhan akan meningkatkan kebarangkalian berlakunya tingkah laku yang sama pada masa akan datang (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Sebagai contoh, sekiranya murid telah mempelajari cara menulis karangan yang betul, guru perlu memberi murid komen yang positif setiap kali murid berjaya menulis esei yang betul. Apabila murid menerima peneguhan yang positif, motivasi intrinsik murid untuk membaiki kesalahan akan berterusan dan seterusnya murid akan menguasai kemahiran menulis karangan tersebut. Namun begitu, guru perlu bijak membaiki kesalahan murid supaya motivasi intrinsik murid akan terus meningkat. Lee dan Marlene Canter (1976) dalam Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad (2012) juga menyokong bahawa peneguhan terhadap tingkah laku yang diingini dan penerimaan murid terhadap akibat daripada tingkah laku yang ditunjukkan membantu murid mencapai kemajuan diri sama ada dalam bidang akademik mahupun disiplin diri.

Teori seterusnya ialah teori kognitif yang dipelopori oleh Jean Piaget. Menurut beliau, bahasa kanak-kanak adalah manifestasi penting daripada perkembangan mentalnya (Khairuddin Mohamad, 2011). Perkembangan bahasa kanak-kanak berkait rapat dengan mentalnya. Piaget membahagikan penguasaan bahasa kanak-kanak kepada empat peringkat iaitu peringkat deria motor, peringkat praoperasi konkrit, peringkat operasi konkrit dan peringkat operasi formal (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Perkembangan bahasa kanak-kanak yang normal akan melalui peringkat-peringkat ini secara sistematik.
Implikasi teori ini terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang dapat diketengahkan ialah guru perlu menyusun isi kandungan pelajaran mengikut perkembangan kognitif kanak-kanak dan yang paling relevan adalah daripada konkrit kepada abstrak dan daripada dekat kepada jauh (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Misalnya, sekiranya guru ingin mengajar murid mengenai kata nama, guru perlu memberi contoh yang dekat dengan murid dan contoh yang diketahui oleh murid. Pengajaran guru juga perlulah dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada murid supaya murid dapat membina pengetahuan baru dengan mengaitkannya dengan apa-apa yang telah dipelajarinya (Hadley, A.O., 1993). Hal ini akan menambahkan lagi kefahaman murid dan pembelajaran lebih mudah diingat.

Teori pemerolehan bahasa yang ketiga ialah teori mentalis yang mana teori ini mempunyai perkaitan dan persamaan dengan teori kognitif. Teori mentalis diperkenalkan oleh Noam Chomsky yang berpendapat bahawa pemerolehan bahasa boleh ditakrifkan sebagai proses pemikiran yang melibatkan aktiviti mental (Khairuddin Mohamad, 2011). Menurutnya lagi, kanak-kanak dilahirkan bersama Peranti Pemerolehan Bahasa atau  Language Acquisition Device (LAD). Alat ini menjadi bukti bahawa manusia mempunyai kebolehan berbahasa semula jadi (Tuan Jah Tuan Yusof, 2013). Oleh itu, kanak-kanak akan menggunakan keupayaan sedia ada pada mereka untuk merumus dan membentuk ayat mengikut sistem bahasa yang diperoleh mereka.
Teori mentalis ini memberi implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran iaitu guru perlu merancang pembelajaran mengikut kadar kendiri murid yang mana murid berpeluang belajar sesuatu pengetahuan atau kemahiran bahasa berdasarkan minat, kebolehan dan tahap kognitif sendiri (Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad, 2012). Hal ini kerana, menurut teori ini, kanak-kanak melalui empat peringkat perkembangan dalam pemikiran. Oleh sebab itu, guru perlulah menyampaikan pengajaran mengikut peringkat-peringkat yang betul supaya murid dapat memproses maklumat yang setaraf dengan tahap pemikirannya. Sebagai contoh, jika guru ingin menerangkan kepada murid cara membina ayat majmuk, guru perlulah mendedahkan kepada murid asas dalam pembinaan ayat dan cara membentuk ayat tunggal terlebih dahulu sebelum beralih kepada ayat majmuk.

Teori pemerolehan bahasa yang terakhir ialah teori interaksionalis. Teori ini dipelopori oleh Halliday, Bloom, Bowennan, Cromer dan beberapa ahli bahasa yang lain. Mereka berpendapat bahawa  kanak-kanak perlu didedahkan kepada interaksi linguistik bagi menggambarkan bentuk linguistik yang jelas dan tepat (Kamaruddin Hj Husin,1998). Penggunaan semantik perlu disampaikan seiring dengan struktur bahasa supaya pelajar dapat menggunakan sistem bahasa dengan tepat dan betul (Khairuddin Mohamad, 2011). Ahli-ahli interaksionalis juga berpendapat bahawa kebolehan kognitif sahaja tidak dapat menjelaskan pemerolehan bahasa kerana pentafsiran ini tidak boleh dilahirkan dalam bentuk bahasa.
Teori interaksionalis ini memberi pengaruh yang penting kepada proses pengajaran dan pembelajaran bahasa iaitu guru perlu menekankan penumpuan terhadap aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam proses pengajaran. Menurut Noor Aina Dani (2007), golongan interaksionalis menekankan prinsip penyampaian struktur bahasa bersama-sama dengan semantiknya. Hal ini kerana, murid dapat menggunakan bahasa dengan lancar dan fasih apabila murid memahami semantik struktur bahasa tersebut. Aktiviti yang dijalankan oleh guru amat penting dalam memastikan murid mendapat kefahaman mengenai apa-apa yang diajarkan oleh  guru. Guru perlu bijak merangka dan melaksanakan strategi yang bersesuaian dalam pengajaran supaya murid mendapat kefahaman mengenai tajuk tersebut selain memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai. Sebagai contoh, sekiranya guru ingin mengajar murid mengenai peribahasa, guru boleh mengadakan simulasi atau lakonan yang berkaitan dengan sesuatu peribahasa supaya murid memahami aspek semantik peribahasa tersebut. Guru boleh melakonkan atau meminta murid sendiri untuk melakonkan situasi seseorang yang melupakan jasa orang bagi menerangkan peribahasa ‘seperti kacang lupakan kulit’.


Kemahiran berbahasa merupakan suatu kemahiran yang amat penting untuk dikuasai oleh seseorang kanak-kanak. Kemahiran ini penting dan diperlukan untuk kelangsungan hidup sebagai seorang manusia. Seorang guru yang efektif dan bertanggungjawab ke atas pelajarnya perlulah bijak menentukan cara untuk mengajar dan memupuk kemahiran bahasa dalam diri pelajarnya. Guru perlu mengkaji teori-teori pemerolehan bahasa dan menimbal balik keberkesanan serta implikasi teori-teori tersebut supaya guru dapat mengaplikasikannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru seharusnya mengambil berat kepentingan penguasaan berbahasa dalam kalangan kanak-kanak ini kerana penguasaan kemahiran berbahasa ini merupakan permulaan kepada pembentukan modal insan kelas pertama sejajar dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

Comments

  1. You have made your points in a smart way. I am impressed with how interesting you have been able to present this content. Thanks for sharing nice information. Do support us.
    Pitofenone Hydrochloride
    Tiemonium Methylsulphate

    ReplyDelete
  2. Info yang jelas tentang teori perkembangan bahasa Chomsky. Izinkan saya untuk menggunakan bahan penulisan ini sebagai rujukan dalam tugasan saya. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Thanks for the useful information. Kindly do visit our website for our latest project.
    Nepafenac

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Lirik Lagu Albi Nadak

Kali ni nak sediakan lirik lagu yang kat atas tu. kot-kot lah ada yang berminat ~ Lagu Pertama : Albi Nadak / Fares | Lagu ni lagu Arab. dan Albi Nadak tu maksudnya Seruan Hatiku. Kalau ikut bahasa Arab sebenar, Qalbi Nadak. Albi Nadak tu ialah bahasa dialek | Lirik Arabnya Leek, ana milk leek  ta'ala arrab dommeni, makhtag   eleek, o rokhi feek   ya hob 'omr ana 'omri kollo hakhyesho leek   hawak howa el khaya,   wenta elly ana, ba'ashek hawa   kan albi monaah   agmal malak, yekoon ma'ah   yah albi nadak wetmannak teb enta wayaya   yah ba'd esneen shok wa khaneen alak eek hena ma'aya   yah dommeni leek, danta habibi hayaty leek   we ha'eesh 'omri 'ashan 'ineek   wa 'omri fadak   yah albi nadak wetmannak teb enta wayaya   yah ba'd esneen shok wa haneen alak eek hena ma'aya   yah dommeni leek, danta habibi hayaty leek   we ha'eesh 'omri 'ashana 'ineek   wa 'omri fadak   Eh, akhtag le eh ...

BMMB3073 Penggunaan Bahasa Rojak

Bahasa merupakan alat komunikasi terpenting dalam konteks perhubungan sesama manusia. Bahasa membolehkan manusia berhubung, melahirkan idea dan meluahkan perasaan. Bahasa merupakan nadi kepada sesuatu bangsa. Penyalahgunaan bahasa boleh memberi kesan kepada perlambangan sesuatu bangsa. Dalam konteks negara Malaysia, isu penggunaan bahasa rojak sering menjadi isu utama yang hangat diperdebatkan. Isu ini seharusnya diatasi dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan pelajar dan guru di sekolah. Hal ini kerana, generasi kini merupakan pemimpin negara pada zaman akan datang. Oleh itu, mereka perlulah dididik untuk menggunakan bahasa dengan betul supaya bahasa ibunda rakyat Malaysia tidak pudar ditelan zaman. Bahasa menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007). Menurut Reed, V. A. (1994)  pula, bahasa adalah lambang-lambang yang kita ...